Logo adalah satu pengenalan kepada syarikat. Contoh mudah, Apple dan Mercedes. Kedua-duanya menggunakan simbol. Mercedes tidak "jual bintang" atau berkait dengan teknologi bintang. Tiada gambar kereta atau tayar bagi menggambarkan automobil.
Apple tidak jual buah epal. Ia menjual komputer dan peralatan elektonik. Tiada gambar atau simbol komputer atau telefon dalam logonya. Lambang epal tidak menerangkan atau menggambarkan jenis perniagaan Apple Inc.
Lihat pula logo Lacoste. Buaya sebagai satu lambang pengenalan. Lacoste tidak terlibat dalam industri ternakan buaya! Nama Lacoste adalah dari nama seorang pemain tenis René Lacoste. Lambang buaya tidak menggambarkan atau menerangkan perniagaan Lacoste.
Bagaimana pula dengan logo Starbucks? Lambang perempuan ikan duyung tidak menggambarkan perniagaannya yang berkaitan dengan restoran atau kopi.
Pasti anda ingat Nike? Ini adalah antara logo yang paling terkenal dan bermula dengan jualan kasut sukan. Tiada gambar kasut dalam logo Nike! Nike asalnya dikenali dengan nama Blue Ribbon Sports (BRS) yang awalnya adalah pengedar kasut buatan Jepun, Onitsuka Tiger yang sekarang dikenali sebab ASICS. Keduanya tiada gambar kasut.
Akhir sekali, cuba bayangkan logo Maybank. Kepala harimau ini tidak menggambar "bank" atau duit. Ia adalah satu simbol yang mewakili sebuah bank yang kukuh!
Kesemua logo-logo ini, Apple, Mercedes, Lacoste, Starbucks, Nike, ASICS dan Maybank tidak menggunakan gambar atau simbol yang secara langsung menerangkan apa jenis perniagaan atau produk mereka.
Ada kala, terdapat logo yang menggunakan sesuatu perlambangan atau simbol yang boleh dikaitkan terus dengan perniagaan yang dijalankan. Atau sedikit sebanyak membayangkan jenis perniagaan. Contohnya logo WWF (World Wide Fund for Nature) yang menggunakan panda sebagai logonya. Ia terlibat dalam pemeliharan alam semula jadi. Pun begitu, penggunaan panda juga masih boleh dipertikaikan.
Mungkin logo Batman dapat menggambarkan atau menerangkan identiti pemiliknya!
Memasukkan sesuatu gambar (imej atau objek) yang secara lansung menerangkan sesuatu perniagaan bukanlah satu kesalahan atau mesti dielakkan. Tetapi seringkali amat sukar untuk sesuatu objek itu menggambarkan atau mengaitkan ia dengan satu jenis perniagaan. Lihat contoh-contoh logo besar dan terkemuka lain, jarang kita temui kaitan secara langsung antara logo dan perniagaannya.
Apa yang penting bukanlah bentuk logo itu sendiri, tetapi yang amat penting ialah ia menggambarkan nilai apa yang diwakilinya.
Jadi, bagaimana merekabentuk sebuah logo yang HEBAT BERKUASA DAN BERJAYA? Apa imej objek yang sepatunya digunakan?
KEUNIKAN - tidak sama dengan yang lain!
--- Bersambung ---
Oleh WizanZaini
6hb Jun 2015, Ipoh Perak