Untuk memahami apa itu logo, anda mesti faham apa tujuan logo direka.
Logo adalah untuk… pengenalan.
Logo memperkenalkan organisasi, syarikat, perniagaan, individu atau produk melalui penggunaan lambang, simbol, huruf, bendera atau tandanama (signature). Logo tidak menjual atau mempromosi syarikat atau produk secara langsung dan ia jarang sekali menerangkan sesuatu perniagaan.
Nilai (tanggapan umum) atau makna sebuah logo itu adalah dari kualiti sesuatu yang diwakilinya (syarikat atau produk) dan bukan sebaliknya. Jika sebuah syarikat itu teruk, maka buruklah tanggapan umum (nilai) terhadap logonya walaupun rupabentuk logo itu sangat hebat.
Jika anda memiliki sebuah logo yang sangat cantik dan sempurna tetapi produk atau perkhidmatannya buruk, maka logo anda juga dipandang teruk. Kerana hakikatnya, nilai dan makna sebuah logo itu lebih utama dari rupabentuknya. Anda faham sekarang?
Bagi menjelaskan lagi konsep ini, kita anggap logo itu sebagai individu. Kita lebih selesa dipanggil dengan nama kita sendiri – Ali, Ahmad, Ah Seong, Ramasami dan sebagainya berbanding sifat yang mengeliru dan susah untuk diingati. Contohnya, “Sipolan yang botak dan selalu pakai baju biru, atau sipolan yang bermisai tebal yang selalu berseluar jeans”. Begitu juga dengan logo yang tidak sepatutnya menerangkan secara literal apa perniagaan itu buat.
Logo itu adalah pengenalan kepada perniagaan atau produk dengan rupabentuknya yang dapat dicam (dikenali) dan diingati dengan mudah.
Perlu diingati, apabila logo itu terkenal dan kita telah biasa dengannya barulah logo tersebut berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Sama seperti kita yang perlu membiasakan diri dengan nama-nama orang sebelum kita dapat mengenal dan mengingati mereka.
Logo memperkenalkan perniagaan, organisasi atau produk dalam bentuk yang paling ringkas!
WizanZaini
6hb Jun, 2015
Ipoh, Perak